AIMI Zalikha kini boleh berbangga perusahaan madu kelulutnya jana pendapatan memberangsangkan.
Menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke menara gading di Universiti Putra Malaysia (UPM) bukan satu keputusan mudah.
Namun gadis berusia 24 tahun dari Kampung Kuala Sentul dekat sini mempunyai perancangan tersendiri selepas menamatkan pengajian bagi kursus landskap di Kolej Risda.
Ternyata keputusan diambil itu berbaloi apabila perusahaan Madu Kelulut Kuala Sentul yang diusahakan sejak 2013 membuahkan hasil dengan perolehan pendapatan memberangsangkan.
Pemilik Trigona Bee Farm Jalyka, Aimi Zalikha Muhamad Salim merupakan usahawan bimbingan Jabatan Pertanian dan mempunyai 110 sarang lebah kelulut di sekitar halaman rumah ibu bapanya di kampung berkenaan.
Menurutnya, idea untuk mengusahakan ternakan lebah kelulut dicetus bapanya bagi menjana pendapatan sampingan berikutan permintaan tinggi terhadap penjagaan kesihatan daripada madu lebah.
“Kami bermula dari zero dan bermula dengan tiga sarang yang dibeli daripada seorang kenalan.
“Kebanyakan perkara kami belajar daripada pengalaman sendiri termasuk cara membuat topping iaitu bahagian madu yang akan diambil.
“Satu sarang berharga RM250 dan sedikit semi sedikit, jumlah sarang ditambah sehingga kini terdapat 110 sarang,” katanya.
Risiko lebah kelulut lari
Aimi Zalikha berkata, perusahaan tersebut berisiko tinggi dan akan menanggung kerugian kerana lebah kelulut mudah meninggalkan sarang sekiranya diganggu.
Menurutnya, batang pokok yang mempunyai sarang kelulut diperoleh dari kawasan hutan dan dipotong sebelum dibawa pulang.
“Kalau tersalah potong, tak sampai sehari lebah akan lari dan sarang tersebut akan jadi kosong macam itu saja.
“Berbeza dengan lebah biasa yang kita boleh umpan dan letak dalam kotak kayu tetapi kelulut hidup secara semula jadi di sarang asalnya dan terlalu cerewet terhadap kebersihan selain ancaman pemangsa macam cicak dan semut.
“Pada peringkat permulaan dulu, kami memang berdepan masalah sedemikian tapi banyak perkara dapat dipelajari sekali gus menyuntik semangat untuk menyahut cabaran sebagai usahawan madu kelulut,” katanya.
Harga cecah RM350 sekilogram
Menurutnya, jumlah madu yang dihasilkan di setiap sarang dipengaruhi oleh faktor cuaca dan bunga daripada apa jua jenis pokok di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, harga pasaran madu kelulut mencecah RM350 sekilogram dan kutipan madu dapat dilakukan pada setiap minggu.
“Malah pada musim durian, ada sarang yang madunya berasa durian dan kalau musim mempelam, sedikit masam.
“Permintaan tinggi dan kadangkala kami tidak dapat menampung terutama pada Oktober hingga Disember di mana waktu jumlah madu berkurangan.
“Pada awal tahun, warna madu cerah dan akan berubah semakin gelap (kehitaman) menjelang akhir tahun,” katanya.
Mahu tambah sarang
Aimi Zalikha berkata, dia menyahut saranan pertanian sebagai satu perniagaan dan berhasrat menambah bilangan sarang kelulut.
Walaupun perusahaan itu juga pernah terjejas ketika bencana banjir akhir tahun lalu yang menenggelamkan hampir 50 sarang kelulut, namun ia tetap tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam perniagaan madu kelulut ini.
Menurutnya, modal perniagaan adalah daripada sumber kewangan sendiri dan keluarga mendidik dia lebih menghargai usaha dilakukan sebelum ini untuk terus memajukan diri.
“Saya sendiri mengikut bapa ke hutan cari sarang kelulut supaya saya tahu dan memahami kehidupan asal lebah kelulut,” katanya.
sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment