Friday, October 9, 2015
Lebah kelulut jadi sumber pendapatan
Sarang yang menjadi tempat pengeraman telur kelulut dan tempat pemaisuri kelulut tinggal.
AYER MOLEK - Seorang anak muda dari Ayer Molek, di sini menjadikan penternakan lebah kelulut sebagai sumber pendapatannya sejak hampir setahun lalu.
Selepas menyertai kursus memelihara kelulut anjuran Mardi negeri pada tahun lalu, Muhammad Sharif Othaman, 23, mula serius menjalankan penternakan lebah yang kini mempunyai lebih 60 sarang.
Tambah Muhammd Sharif, selepas menamatkan pengajian peringkat sijil di Institut Latihan Perindustrian (ILP) empat tahun lalu, dia nekad bekerja sendiri dengan menjalankan perniagaan ‘coconut shake’ yang juga perniagaan berasaskan pertanian.
Katanya, dia memulakan perniagaan itu sejak berusia 21 tahun dan kini mempunyai tiga pekerja yang membantu menguruskan perniagaannya.
"Sejak memulakan perniagaan saya memang mahu mencari sumber pendapatan sampingan yang turut berasakan pertanian sehinggalah ayah saya memberitahu ada kursus memelihara kelulut dianjurkan Mardi.
"Saya menyertai kursus pendek berkenaan dan terus serius menjalankan pemeliharaan serangga itu dengan mencari sarangnya di sekitar negeri ini dengan bantuan penebang pokok,” katanya, di sini.
Muhammad Sharif berkata, sebuah sarang kelulut dibeli dengan harga kira-kira RM100 dan ia bergantung kepada saiznya.
Katanya, sarang kelulut itu dibawa ke tapak pemeliharaan dan diletakkan kotak di bahagian atas kayu yang sudah dipotong untuk dijadikan sebagai tempat kelulut menyimpan madunya.
"Alhamdulillah selepas hampir setahun, saya kini mampu menghasilkan sebanyak 30 botol madu yang dijual dengan harga RM50 bagi setiap botol.
"Madu kelulut digemari ramai kerana rasanya agak masam dan sesuai dijadikan sebagai makanan tambahan untuk kesihatan diri,” katanya.
sumber: sinar harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment