Di Malaysia sahaja terdapat hampir 58 spesies yang telah dikenalpasti dan ke semuanya menghasilkan madu.

Pun begitu, setiap madu yang dihasilkan memiliki keunikan rasa yang tersendiri.
Jinak dan mudah diternak, kelulut tidak memiliki sengat menjadikan proses menjaga, memindah serta mengumpulkan madu adalah lebih mudah.



Bagaimanapun tidak ramai dalam kalangan usahawan tempatan yang benar-benar menumpukan perhatian menternak serangga tersebut bagi tujuan pengeluaran madu.

SAF atau lebih dikenali sebagai Soleha Advance Farming mempunyai cara tersendiri bagi mengetengahkan madu kelulut serta serangga tersebut kepada orang awam.

Menurut pengurusnya, Rosman Mohd. Isa, di SAF mereka lebih menumpukan kepada pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap madu kelulut serta serangga itu sendiri.

Jelasnya, kelulut merupakan serangga yang unik dan memiliki kelebihan yag tiada pada serangga lain.

“Seperti mana yang kita ketahui kelulut tidak berbisa, jinak, mudah dikawal dan dipelihara selain menghasilkan madu yang begitu baik untuk kesihatan manusia.

“Bahkan, madu kelulut dikatakan lebih baik berbanding madu lebah biasa,” katanya ketika menerima kunjungan Jabatan Pertanian dan wakil Utusan di Merbok, Kedah baru-baru ini.

Tambah Rosman, kelulut boleh ditemui di hampir semua negara-negara beriklim tropika di seluruh dunia.

“Untuk tujuan kesedaran awam, SAF telah membina sebuah galeri serta kawasan penternakan kelulut khas untuk dilawati olah orang awam.

“Terletak berhampiran Muzium Arkeologi Lembah Bujang, galeri tersebut juga dibuka secara percuma kepada orang ramai yang berminat untuk mendapatkan sebarang maklumat atau membeli madu kelulut daripada SAF,” katanya.

Tambah Rosman, memelihara kelulut adalah tidak rumit namun serangga tersebut memerlukan persekitaran yang sesuai dengan habitat asalnya.

“Seperti mana yang kita ketahui habitat kelulut adalah di dalam batang-batang pokok di dalam hutan.

“Oleh yang demikian untuk memeliharanya, pengusaha perlu menyediakan persekitaran yang sama di ladang mereka,” katanya.

Kawasan ternakan perlulah teduh dan nyaman dengan perlindungan daripada pokok-pokok.

Antara kawasan ternakan yang sesuai adalah di sekitar pinggir kampung dan hutan.

Diet kelulut juga merupakan nektar yang dihasilkan oleh bunga-bunga hutan justeru, kawasan dipinggir-pinggir kampung dan hutan adalah yang terbaik.
Persekitaran yang panas akan menyebabkan produktiviti pengeluaran madu berkurangan.

Jelas Rosman, persekitaran yang panas akan menyebabkan sebahagian kelulut yang bekerja mencari madu tidak akan keluar daripada sarang dan ‘bertugas’ untuk menyejukkan koloni mereka dengan mengibaskan sayap tanpa henti.
Jika sebahagian kelulut pekerja sibuk menyejukan sarang pastinya madu yang dihasilkan juga adalah sedikit.

Selain daripada itu, kelulut yang gemar bersarang pada celah batang pokok juga mudah untuk dipindahkan ke mana-mana kawasan ternakan.

Keseluruhan batang pokok yang mengandungi sarang kelulut akan dipotong dan kelulut akan dipindahkan pada waktu malam bagi mengelakkannya melarikan diri apabila dipindahkan.

Harga tinggi

Bagi sebuah sarang kelulut, harga di pasaran mencecah antara RM150 hingga RM300 bergantung kepada keadaan sarang, spesies kelulut serta jenis kayu atau pokok.

Kadar harga yang tinggi tersebut kadangkala menyebabkan kes kecurian berlaku dalam kalangan pengusaha kelulut oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Namun ujar, Rosman Mohd. Isa, kebiasaannya pengusaha kelulut tidak akan membeli sarang kelulut daripada orang yang mereka tidak kenali malah sering bekerjasama dengan usahawan yang lain.

Madu kelulut seperti juga mahu lebah, dihasilkan daripada nektar bunga, namun memiliki rasa yang masam dan bergantung kepada jenis bunga serta kaya dengan bahan antioksida yang dapat membantu menyembuhkan luka serta bertindak sebagai antibiotik.

Malah, terdapat kajian menyatakan bahawa madu kelulut memiliki asid fenilpropanaoik, asid protocatechuik dan empat asid hidroksifenilasetik yang tergolong dalam kumpulan asid fenolik bebas.