Monday, October 5, 2015

Belajar ganda koloni lebah kelulut

Belajar ganda koloni lebah kelulut
Dr Mohd Zulkifli (kanan) ketika latihan amali di ladang kelulut di Koperasi Kelulut-Sampugita Kelantan Sdn Bhd di Kampung Kepulau

TUMPAT - Potensi pasaran yang semakin baik, menyebabkan ramai menternak madu kelulut dan dikhuatiri pemburuan koloni liar secara berterusan boleh menjadi ancaman kepada alam sekitar.

Bagi mendapatkan satu koloni liar, pokok perlu ditebang dan ia boleh memusnahkan hutan jika ia tidak dikawal.

Sehubungan itu, sebagai usaha membantu kelestarian alam, Koperasi Kelulut-Sampugita Kelantan Berhad mengadakan kursus penggandaan koloni lebah kelulut melalui Mustafa Hive.

Kursus dua hari itu disertai 40 pengurus Felda wilayah seluruh Malaysia dan ceramah pula disampaikan Pensyarah Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Dr Mohd Zulkifli Mustafa.

Dr Mohd Zulkifli berkata, kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai menggandakan koloni kepada dua bagi mengelakkan penebangan hutan secara berterusan.

“Biasanya penternak madu kelulut akan ambil sumber koloni di batang pokok dalam hutan. Mereka akan tebang pokok untuk dapatkan koloni tersebut.

“Perbuatan ini merosakkan hutan, sedangkan kelulut ejen pendebungaan. Industri madu kelulut ini juga akan mati jika tidak dilakukan kaedah penggandaan ini,” katanya.

Penggandaan koloni lebah kelulut melalui Mustafa Hive adalah kaedah baharu yang diperkenalkan di koperasi tersebut bagi mengawal kepupusan sumber.

Bagi industri madu kelulut pula, kaedah penggandaan koloni lebah kelulut membantu meningkatkan hasil pengeluaran.

Sementara itu, sepanjang kursus berlangsung di Koperasi Kelulut-Sampugita Kelantan Sdn Bhd di Kampung Kepulau di sini, peserta diajar teori dalam kelas dan amali di lapangan.


sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment