Sunday, October 11, 2015
Potensi penternakan madu kelulut
Salleh gigih mengusahakan lebah kelulut di halaman rumahnya di Kampung Pangkal Petai, semalam.
PANGKAL PETAI - Tertarik dengan pelbagai kelebihan yang ditawarkan madu kelulut, Salleh Isa berusaha menternak lebah tersebut sejak Februari lalu secara kecil-kecilan di sekitar rumahnya, di sini.
Lebah kelulut dikatakan mampu meningkatkan metabolisme badan, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawat pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman.
Salleh berkata, buat permulaan, dia mencari sendiri sarang serangga tersebut di kawasan hutan berdekatan rumahnya sedikit demi sedikit.
Katanya, penternakan lebah kelulut mudah dipraktikkan dan kerja-kerja memindahkan sarang ke kotak khas juga tidak memerlukan kemahiran yang tinggi serta boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Lagipun, tambahnya, serangga tersebut tidak mengancam manusia dan boleh diternak di persekitaran rumah seterusnya mampu menjana pendapatan tambahan.
“Potensi pasaran yang begitu baik menyuntik minat ramai pihak untuk terbabit dalam industri penternakan lebah kelulut biarpun ia adalah benda baru dan masih banyak yang perlu dipelajari.
“Ini kerana madu yang dihasilkan serangga berkenaan mampu menjana pendapatan berganda jika diusahakan dengan cara betul,” katanya yang memiliki 10 sarang kelulut.
Salleh menjelaskan, dia bercadang untuk mengembangkan bidang penternakan serangga tersebut pada masa akan datang dan pada masa yang sama turut menambah ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut dengan menyertai kursus-kursus berkaitan yang diadakan.
Katanya, halaman rumah yang dipenuhi dengan pokok buah-buahan memberi kelebihan kepada usahanya itu kerana ia dapat menarik minat lebah kelulut.
Tambahnya, madu kelulut tersebut dituai sekali sebulan namun hasilnya tidak menentu kerana bergantung kepada musim tetapi tidak mengecewakan.
“ Cuma untuk menternak kelulut, kita perlu peka dengan haiwan pemangsa seperti cicak, lipas, mengkarung yang sentiasa ada di sarang serangga itu untuk menunggu mangsanya.
“ Biasanya setiap malam, saya akan periksa sarang-sarang kelulut agar ia tidak menjadi mangsa haiwan-haiwan tersebut,” kata Salleh lagi.
sumber: sinar harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment